Sunday , 22 October 2017
Terbaru

Umur Paling Lewat Untuk Mendidik Anak-anak

Soalan: Salam saudara wan. Ini kali pertama saya terjumpa blog ini. Alhamdulillah kerana saya memang sedang tercari2 blog untuk mengutarakan satu persoalan. Saya seorang ibu tunggal setelah ditinggalkan suami selepas melahirkan cahaya mata. Pada mulanya ibu dan bapa saya menjaga anak saya di kg sementara saya bekerja. Setelah ibu saya jatuh sakit, saya menjaga anak saya sendiri. Saya akui saya seorang yang kurang sabar apabila tertekan. Maka dalam mendidik anak saya itu, saya telah menggunakan cara yang tidak sepatutnya seperti marah2 dan menengkingnya. Kini saya dapat lihat anak yang berusia 2 thn itu telah menunjukkan sikap itu dalam dirinya. Saya ingin berubah dalam mendidiknya tetapi persoalan saya ialah adakah saya sudah terlambat dan sikap itu akan terus tertanam dalam diri puteri saya? Saya amat berharap saudara wan dapat memberi respon pada persoalan saya ini. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam.. Terima kasih kerana mengunjungi blog ini dan bertanyakan soalan. Sesungguhnya saya bukanlah pakar dan tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam mendidik anak. Namun saya boleh berikan beberapa pendapat yang mungkin boleh membantu. InsyaAllah..

Sebelum saya menjawab soalan ini, saya ingin maklumkan sebuah artikel yang pernah saya tulis pada tahun 2009  tentang cara mendidik anak. Artikel itu bertajuk ‘Didik Anak Kita Mulai Sekarang!’. Sekiranya anda belum membaca artikel tersebut, jemputlah bacanya kerana terdapat beberapa cara mendidik anak yang bagus untuk diamalkan bersama.

Baik, berbalik kita kepada soalan di atas. Sebenarnya tidak ada istilah terlambat untuk membentuk perangai seseorang. Yang ada hanyalah usaha. Yang menentukan kejayaan usaha itu bukan masa, bukan umur, bukan kita dan bukan juga mereka tetapi hanyalah Allah. Kurang sabar dan suka menengking ada kaitan dengan sikap garang. Sikap garang tidak semestinya sikap yang buruk. Yang menjadikan sikap itu buruk adalah kerana garang pada sesuatu yang salah. Kita imbas kembali sikap saidina Umar Al-Khattab. Beliau adalah seorang yang garang sebelum memeluk Islam dan masih merupakan seorang yang garang selepas memeluk Islam. Tetapi dengan Islam, beliau garang menentang musuh Allah, beliau garang dengan orang-orang yang cuba menyakiti Rasulullah.

Persoalannya sekarang anak itu sudah mula terikut-ikut dengan sikap ibu yang suka menengking dan marah-marah. Memang sikap ini kurang baik, tetapi semua sikap buruk dalam dunia ini boleh diperbetulkan dengan nilai-nilai Islam.

Ada 3 perkara perlu dilakukan.

1 – Ubah Diri Sendiri.

Kadang-kadang kita sering berfikir bagaimana hendak mengubah sikap anak-anak. Tetapi kita sering terlupa bahawa anak kita adalah cermin kepada diri kita sendiri. Bagaimana mereka melihat kita, begitulah sikap mereka. Adalah kurang baik untuk kita cuba mengubah sikap anak kita sepertimana yang kita mahu sedangkan kita sendiri tidak berubah ke arah itu.

Jangan sesekali terfikir yang kita sudah terlambat untuk mengubah sikap, kerana untuk mengubah sikap ia bergantung kepada kemahuan dan usaha kita sendiri. Tiada kaitan dengan masa atau umur. Jika kita sendiri rasa bahawa kita sudah terlambat, maka sikap yang ada pada anak-anak kita itu sudah tentu tidak dapat diubah lagi.

2- Marah dengan menyebut kebesaran Allah dan dengan nada yang sederhana.

Apabila marah, marahlah dengan menyebut nama Allah. Biasanya apabila kita marah kita sering terlupa bahawa apa yang berlaku itu adalah ketentuan dari-Nya. Dengan menyebut nama Allah kita akan kembali ingat kepada-Nya meskipun dalam keadaan marah. Usah menengking-nengking dengan kuat kerana perbuatan itu hanya akan menyebabkan hati kita semakin panas membakar. Bercakap dengan nada yang sederhana dan tegurlah dengan baik.

3- Banyakkan berzikir, selawat dan mempelajari ilmu agama bersama-sama anak. Tanamkan ke dalam hati kita dan hatinya rasa cinta kepada Allah dan rasul-Nya.

Hanya diri yang kuat ingatannya pada ilahi dan kuat imannya akan menjadi seorang yang tenang. Begitu juga anak-anak. Mereka akan melihat bagaimana kita menghadapi sesuatu situasi. Jika kita sering kelihatan tenang dan bersahaja, mereka juga akan terikut-ikut dengan sikap itu. Namun untuk bersikap tenang kita perlu menyucikan hati dengan selalu mengingati Allah.

Dari persoalan ini jelaslah kepada kita bahawa tiada istilah terlewat dalam mendidik anak-anak mahupun mendidik diri sendiri. Sebab itu Allah sentiasa membuka pintu taubat dan sudi mengampunkan dosa mana-mana sahaja hambanya yang ingin bertaubat. Tidak kira berapakah umur mereka. Manusia sentiasa boleh berubah.

Saya gembira saudari menitikberatkan soal mendidik anak-anak. Ketahuilah bahawa Allah mengurniakan ganjaran yang besar untuk mereka yang menyayangi anak-anak. Di bawah adalah 9 fhadilat mendidik anak yang saya petik dari blog Anakkusoleh.com:

  1. Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat.
  2. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.
  3. Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.
  4. Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.
  5. Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata; “Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium.” Sabda Nabi SAW; “Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi.”
  6. Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat.
  7. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.
  8. Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.
  9. Seorang lelaki bertanya; “Ya Rasulullah, kepada siapakah harus akuberbakti? ” Jawab baginda; “Berbaktilah kepada ibu bapamu.” Kata lelaki itu lagi; “Ibu bapaku sudah tiada lagi.” Sabda Nabi SAW; “Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu.”

Subhanallah..Begitu banyak ganjaran yang Allah kurniakan kepada mereka yang menyayangi anaknya. Semoga kita semua mendapat fadhilat yang dinyatakan di atas. InsyaAllah…

5 comments

  1. salam..
    apa khbar..lama tak kesini..

    last bila ya… mmg suri pembaca setia d blog ni sb tu ada langgan blog wan heee..

    anak adalah cahaya rumahtangga,,klu dia bt hal mmg hati cpt panas.namun kita jena sabar dlm menanganinya 🙂

    sb ank tu anugerah yang dari Tuhan

    • Waalaikumussalam..

      Ala..Suri, lama betul tak nampak komen Suri. Hehe..Saya juga sering ke blog Suri kerana saya juga salah seorang yang melanggan info dari blog itu. Cuma sekarang ni memang jarang sangat menulis komen.

      Terima kasih untuk komen Suri ini, saya setuju!

  2. Salam…

    mmg betul tu…sayangilah anugerah ALLAH yg x ternilai iaitu anak2.Tak kira anak sendiri atau anak siapa, kanak2 berhak mendapat kasih sayang…

  3. “Sebenarnya tidak ada istilah terlambat untuk membentuk perangai seseorang. Yang ada hanyalah usaha. Yang menentukan kejayaan usaha itu bukan masa, bukan umur, bukan kita dan bukan juga mereka tetapi hanyalah Allah”

    ~betul kata2 saudara wan

  4. tp mama aku didik besa jer x byk elemen keislaman but me n my br0ther turn 0ut 0k juga.. it really depend 0n the pers0n him or herself heeeee tp waktu kecik dulu memang nakal arr

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*