Sunday , 23 July 2017
Terbaru

Bolehkah Isteri Minta Cerai Jika Tidak Puas Seks?

Soalan:

Assalammualaikum …

Teman baik wanita saya berumur 28 tahun dan mempunyai 3 orang anak hasil perkahwinannya selama 10 tahun. Setelah 10 tahun berkahwin saya dapati kawan saya mempunyai teman lelaki dan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki tersebut. Saya cuba mencungkil punca dia bersikap curang. Dia memberitahu yang selama usia perkahwinannya bersama suami dia tak pernah mendapat kepuasan seks bersama suami. Puas sudah dia berusaha memberitahu dan membantu suami namun tetap tidak berjaya kerana mungkin suami malu dan ego kerana kelemahan sendiri.

Namun disebabkan itu isteri dalam diam2 mempunyai hubungan lain bagi memenuhi impian seks nya. Saya ada menasihatinya untuk bercerai, dan berkahwin sahaja dengan teman lelaki nya itu tapi dia mengatakan bolehkah isteri meminta cerai kerana tidak puas seks, sedangkan selama berkahwin 3 orang anak sudah dihasilkan. Malu untuk mengadu dan lebih malu pada keluarga mentua dan keluarga sendiri  kerana alasan bercerai itu. Adakah contoh kes2 sebegini di Malaysia am nya ? Jika dia terus menerus begini bukankah berdosa dia selama2nya ? Bagaimana cara untuk membantu teman saya ini?

Jawapan:

Ini bukanlah masalah pertama yang kita jumpa berkaitan sifat curang isteri kerana tidak mendapat kepuasan dalam hubungan seks. Kita sering mendengar kes-kes tangkap khalwat berhubung dengan orang-orang yang telah berkahwin samada dari pihak suami atau isteri.

Islam memandang berat kesalahan ini sehingga dijatuhkan hukuman rejam sampai mati! Adakah hukuman yang berat seperti ini tidak ada jalan penyelesaian yang baik untuk di atasi? Tentu sekali ada! Tapi sayang kerana lemahnya ilmu berkaitan soal agama dan tuntutan islam, ramai yang memilih jalan mudah dengan mencari pasangan dan memuaskan nafsu dengan cara yang salah.

Apabila sepasang lelaki dan wanita bernikah, maka kedua-duanya mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas pasangannya. Antara tanggungjawab dan hak masing-masing ialah si isteri bertanggungjawab untuk melayan suaminya dan si suami pula bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isterinya.

Dalam persoalan hubungan kelamin, ia bukan hanya hak suami yang perlu ditunaikan oleh si isteri tetapi juga hak si isteri yang wajib ditunaikan oleh si suami. Suami yang dengan sengaja tidak memberi nafkah batin dan kebendaan kepada isterinya tanpa sebab-sebab yang diterima oleh syara’ adalah berdosa.

Terdapat 2 Tuntutan Cerai Yang Boleh Di Mohon Oleh Isteri Dalam Kes Ini.

1 – Tuntutan Cerai Dengan Taklik.

Cerai taklik berdasarkan peruntukan Seksyen 50 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ialah lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang. Lafaz taklik negeri adalah berbeza antara satu negeri dengan negeri lain. Hanya isteri boleh menuntut cerai taklik. Lafaz taklik perlu dibaca dan ditafsirkan secara keseluruhan, bukan separuh atau sekerat saja.

Lazimnya di Malaysia pernikahan dilakukan dengan lafaz perjanjian taklik oleh suami. Seandainya suami telah melafazkan taklik bahawa sekiranya beliau tidak memberikan nafkah zahir dan batin selama 3 bulan atau lebih si isteri boleh mengadu ke Mahkamah Syariah dan jika didapati benar aduannya maka jatuhlah satu talak.

Dalam kes di atas, pihak isteri telah menyatakan bahawa beliau tidak pernah mendapat kepuasan dalam hubungan kelamin selama perkahwinannya iaitu 10 tahun ini. Meskipun telah mendapat anak, namun itu bukanlah ukuran untuk membuktikan kepuasan seks isteri. Dalam keadaan yang sama juga si isteri telah berbincang dengan suami dan telah berusaha berkali-kali tetapi tiada tindakan serius oleh pihak suami. Dalam situasi ini pihak isteri boleh mengemukakan aduan kepada Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.

2- Tuntutan Cerai Dengan Fasakh.

Fasakh mengikut Seksyen 2 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam didefinisikan sebagai pembubaran nikah disebabkan sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh hukum syarak mengikut seksyen 53.

Jika pihak lelaki mempunyai hak untuk menceraikan isteri dengan melafazkan talak, si isteri pula boleh memohon cerai dengan Fasakh. Bagaimanapun, fasakh yang boleh dituntut oleh isteri bergantung kepada beberapa keadaan yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Untuk kes di atas, sila semak tulisan berwarna merah yang telah saya tandakan di bawah:

Semua Undang-undang Keluarga yang digubal sejak tahun 1983 mengiktiraf bahawa seorang isteri dibenarkan memohon fasakh di Mahkamah atas satu atau beberapa alasan yang telah disenaraikan dan diperuntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam di tiap-tiap negeri. Di Negeri Perak, alasan yang disenaraikan sebagaimana yang diperuntukkan,dalam Seksyen 49, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak, Bil 13, Tahun 1984,

a) Bahawa suami telah mati pucuk dan masih lagi sedemikian keadaannya dalam masa setahun setelah dibuat pengaduan.

b) Bahawa suami telah gila atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit selama tidak ada kenyataan yang terang menunjukkan relanya dengan penyakit tersebut.

c) Bahawa izin isteri terhadap perkahwinan itu telah diberi secara tidak sah samada oleh sebab paksaan, kesilapan ketidak sempurnaan akal atau pun lain-lain sebab mengikut Hukum Syarak,

d) Bahawa pada masa perkahwinan itu, suami adalah seorang yang sakit otak (samada berterusan atau berselangan) dalam erti Ordinan sakit 0tak 1952 dari jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;

e) Atas apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh menurut Hukum Syarak”.

Manakala dalam enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan No. 1, tahun 1983, Seksyen 38 selain dari memperuntukkan sebagaimana Undang-undang Bil.13/1984 (Perak), ia juga ada memperuntukkan alasan bahawa isteri yang telah dikahwinkan oleh bapanya atau datuknya sebelum ia cukup umur mengikut Hukum Syarak yang mana ia boleh menolak perkahwinan tersebut setelah mencapai umur 18 tahun. Penambahan kepada 3 alasan yang lain sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 44 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah, Bil. 1/1984 iaitu :

a) Bahawa suaminya, kerana kepapaan tidak mampu menyarainya

b) Bahawa isterinya mempunyai kecacatan yang menghalang persetubuhan dilakukan,

c) Bahawa suaminya mempunyai kemaluan yang luar biasa.

Bagaimanapun bagi negeri-negeri Terengganu, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Selangor 28 telah memperuntukkan alasanalasannya dengan agak luas sebagaimana:

a) Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun.

b) Bahawa suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkahnya selama tempoh tiga tahun.

c) Bahawa suami telah dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih

d) Bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinan (nafkah batin) selama tempoh satu tahun

e) Bahawa suami menganiayainya, iaitu antara lain:

  1. lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniya (ketidakpuasan seks adalah satu penderitaan batin), atau
  2. berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak, atau
  3. cuba memaksa isteri hidup secara lucah, atau
  4. melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi-undang-undang terhadap harta itu, atau
  5. menghalang isteri dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya, atau
  6. jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak

f) Bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya.

g) Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh di bawah Hukum Syarak.

Keterangan lanjut, klik di sini.

Dengan peruntukan undang-undang di atas, tiada alasan lagi mengapa si isteri perlu malu untuk mengadu kepada Mahkamah Syariah dan tidak sepatutnya si isteri berkelakuan curang atau mencari lelaki lain sebelum bercerai dengan suaminya. Atas sebab ini, hukuman rejam sampai mati yang dianjurkan islam kepada penzina yang telah berkahwin amatlah tepat dan bersesuaian terhadap orang yang sengaja menzalimi diri sendiri dengan perbuatan terkutuk itu!

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka rejamlah tiap-tiap mereka 100 kali rejam, dan janganlah disebabkan rasa simpati menyebabkan kamu gagal melaksanakan hukum Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah pelaksanaan hukum Allah disaksikan oleh sekumpulan orang (An-Nuur 24;2).

Semoga dengan penerangan yang jelas dan panjang lebar ini dapat membantu saudari dalam menasihati teman saudari itu. Sama-sama kita doakan semoga Allah melindunginya dan elakkan beliau dari terus curang dan melakukan perbuatan terkutuk itu. Islam itu mudah dan sangat adil, ikutilah cara yang telah digariskan. InsyaAllah semuanya akan dapat diselamatkan dan diselesaikan dengan baik.

Saya bukan menggalakkan supaya mereka bercerai, namun jika sudah 10 tahun mengadu dan si suami tidak mengambil sebarang tindakan, perbuatan ini samalah seperti menyiksa batin si isteri. Mengadu kepada Mahkamah Syariah dan meminta tunjuk ajar dari mereka adalah jalan terbaik. Tentang hukum samada si isteri boleh menuntut cerai atau tidak, di atas itulah jawapan saya.

8 comments

  1. kalau mendatangkan ke arah jalan kehinaan si isteri memang perlu lah rasanya.. namun si lelaki kerna bekerja lebih giat dan keras untuk mencapai kehendak si isteri… sekadar pendapat

  2. Bg pndgn sy,eloklah pegi mengadu tmpt yg blh mdptkn jwpn yg muktamd..jgn biar berlarutn..sanggup ke nk tanggung dosa setiap hari…fikir2knlh…

  3. Orang lelaki senang.. x puas blh terus kawin lain, yg lama blh simpan atau cerai kemudian. orang perempuan kena sabar…. dulu. minta cerai turun naik mahkamah, ntah brtahun. kena tunggu edah brbulan bulan.. klu da bercerai pun kalau ada anak kecik kena jaga. Ayahnye da blh honeymoon bini baru. macam tu lah.. bila anak dah besar, anak boleh buat pilihan nk tinggal dengan ayah atau ibu. masa kecil ayah datang sekali sekali bawa hadiah bawa jalan2, anak pun suka… Sakit penin anak, didikan siang malam, ibu tanggung. da besar ayah nk ambil boleh tolong ibu tiri buat kerja itu ini. Undang2.. hahaha..

  4. Macam mana nak puaskan isteri sekiranya di ajak bersama selalu memberi alasan…mood suami pun hilang…jika berlanjutan bagaimana? Pujukan suami pun tidak di layan…bagaimana si suami nak buktikan kepuasan kepada isteri jika begini?

    • Setuju. Suami besemangat nak main n nak puaskan isteri juga sama2 puas tapi isteri beri main tapi badan keras tanpa tindak balas. Beri tapi tak ikhlas. Bila tak puashati mengadu kat pej ugama kata nak bercerai pasal tak puas seks? Macam nak buktikan?

  5. salam..saya nk tnya apa hukumnya seorang isteri meminta cerai jika suami tak mahu ada anak dengannya? pelbagai cara suami lakukan untuk memastikan si isteri tak mengandungkan anaknya trmasuklah ‘azal dan memaksa isteri mengambil pil perancang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*