Sunday , 22 October 2017
Terbaru

Tidur Di Ribaan Isteri

KOTA BHARU: Sering tidur di riba isteri setiap kali pulang ke rumah selepas menjalankan tugas harian antara rahsia kebahagiaan rumah tangga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, walaupun kadangkala pulang ke rumah pada jam 2 atau 3 pagi, isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak tidak pernah merungut dan sebaik meletakkan kepala di riba isterinya, semua masalah yang semak dalam benak seperti hilang begitu saja.

“Saya juga berselawat ke atas nabi sebanyak 41 kali setiap hari dan isteri perlu bersabar serta diam setiap kali melihat suami marah.

“Suami juga perlu menjaga kebajikan makan minum dan tempat tinggal keluarga, selalu membaca al-Quran serta sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Suami Isteri dan Pelancaran Buku Panduan Keluarga Mawaddah, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Nik Abdul Aziz dan isterinya yang mempunyai lima anak lelaki dan lima perempuan serta 56 cucu, bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-50 pada 20 November ini selepas melangsungkan perkahwinan pada 1962.

Beliau turut dipilih sebagai Ikon Keluarga Mawaddah Peringkat Kelantan 2012 manakala lima pasangan lagi turut menerima Hadiah Pasangan Terpilih pada majlis berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz berkata, statistik menunjukkan terdapat lebih 234,000 anak tidak sah taraf, 81,000 daripadanya Melayu yang direkodkan di negara ini sejak 2006 hingga 2010 di seluruh negara amat mengejutkan. Katanya, semua masalah itu timbul akibat tiada lagi wujud rasa takwa kepada Allah S.W.T.

“Masalah ini menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja bagi membina pusat perlindungan kepada anak ini (anak tidak sah taraf).

“Akibat tidak menjaga agama dan pergaulan terlalu bebas seperti sering ke kelab malam dan minum arak, maka ia boleh menjurus kepada zina,” katanya.

Pada masa sama, Nik Abdul Aziz turut mencadangkan sambutan Hari Valentine yang biasa disambut dengan pelbagai acara yang penuh maksiat diganti dengan Sambutan Hari Suami Isteri oleh umat Islam.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*