Monday , 22 May 2017
Terbaru

Kematian Amid…

Nota: Ini ialah sambungan artikel bertajuk ‘Muntahlah Atas Tangan Amid..’. Baca artikel itu dahulu untuk memahami kisah ini.

Pada hari itu, selepas pulang dari kebun menghantar emak ke rumah, Amid menunaikan solat Asar. Selepas selesai, dia akan menunggang motosikal buruknya ke kebun untuk menghalau kambing dan lembu masuk semula ke kandang. Ketika itu, langit sudah gelap. Kilat mula memancar diiringi dentuman guruh. Menurut cerita kakak saya, Mek, Amid berada di kandang sehingga pukul 6.00 petang.

Mek nampak Amid menghalau lembu kambingnya sebab rumah Mek dekat saja dengan kandang haiwan itu. Kira-kira pukul 6.15 petang, hujan mula turun dengan lebat. Kakak saya, Mek, Jah bersama adik saya, Nor dan Ana sedang berada di rumah mereka pada waktu itu.

Apabila hujan lebat turun dan guruh serta petir sambung-menyabung, mereka sangkakan Amid sudah pulang ke rumah emak. Jadi mereka langsung tidak memikirkan tentang Amid kerana menyangka Amid sudah pulang ke rumah sebelum hujan turun.

Tiba-Tiba……Prangggggg. Tuuuuummmmt!Dentuman serta panahan petir yang teramat kuat itu membuatkan Mek, Jah, Nor dan Ana terperanjat. Panahan petir itu turut membelah beberapa batang pokok pisang yang ditanam di belakang rumah serta merobekkan dinding dan pintu bilik air rumah Mek.

Pada masa yang sama, emak yang sedang berada di halaman rumahnya kira-kira dua kilometer dari rumah Mek, turut terperanjat mendengar bunyi dentuman petir itu. Darahnya berderau. Lutut emak tiba-tiba saja jadi lemah. Dirinya terasa seperti di awang-awangan.

Tiba-tiba mulut emak terpacul kata kata, “Ya Allah. Anak aku!”

Hati emak jadi berdebar-debar. Dia teringatkan Amid yang sedang berada di kebun. Emak tiba-tiba bimbang terjadi sesuatu yang buruk terhadap Amid.

Kira-kira setengah jam berlalu, hujan semakin reda. Pancaran kilat dan guruh juga sudah sayup-sayup bunyinya. Tiba-tiba Mek teringatkan Amid. Dia menghubungi emak, tetapi kata emak, Amid masih belum pulang. Mek mula rasa tidak sedap hati. Dia mengajak abang kami, Pok Yee untuk keluar bersama mencari Amid. Mereka berdua menuju ke kandang yang tidak jauh dari rumah mereka itu.

Sampai di sana…

“Ya Allah, adik akuuuuuu!!!” Jerit Mek sebaik sahaja melihat Amid terbaring mengiring di bawah pohon sentul di depan kandang kambingnya.

Mek memangku kepala Amid. Mek Jerit nama Amid beberapa kali, tapi Amid tidak lagi menyahut. Tubuhnya kaku. Cerita Mek kepada saya. ketika itu dia melihat darah mengalir laju keluar dari telinga Amid. Kesan lukanya pula seperti terkena tembakan peluru. Dari wajahnya, sehingga ke paras dada, menjadi hitam kesan terbakar.

Amid dibawa ke hospital dengan bantuan seorang jiran dan disahkan sudah meninggal dunia. Ketika menunggu hospital membenarkan kami membawa pulang jenazah Amid, Mek pun bercerita kepada kami bagaimana dia melihat sesuatu yang agak pelik pada mayat Amid ketika dia mula-mula menjumpainya.

Cerita Mek, mayat Amid dijumpainya terbaring mengiring menghadap ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dalam keadaan kiam.

Lazimnya seseorang yang dipanah petir, tercampak dan keadaan anggota badannya tidak teratur. Tetapi ini tidak, mayat Amid seolah olah dibaringkan dan tangannya dikiamkan ke dada. cerita Mek kepada kami lagi.

Pagi Jumaat 8 Oktober 2004

PAGI itu, suasana pilu menyelubungi rumah kami. Mayat Amid terbujur kaku diselimuti kain kapan di ruang tamu. Saya termasuk beberapa orang adik-beradik dan orang kampung, sibuk menguruskan urusan pengebumian Amid.

Di sekeliling mayat, kelihatan saudara-mara memenuhi ruang rumah, termasuk orang-orang kampung membacakan surah Yasin. Setelah solat jenazah, mayat Amid dibawa ke perkuburan. Sebaik selesai urusan pengebumian, azan solat Jumaat pun berkumandang.

Sehari selepas Amid dikebumikan, saya ke kuburnya untuk membacakan surah Yasin. Saya tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 9.00 pagi. Ketika sedang khusyuk membaca Yasin. tiba-tiba saya terdengar suara burung berkicauan di atas pokok-pokok di kuburan itu.

Pada mulanya saya tidak hiraukan kicauan burung-burung tersebut. Tetapi lama-kelamaan, saya dengar bunyi kicauan itu semakin kuat dan rancak. Saya pun mendongak, kelihatanlah sekumpulan burung sedang terbang berpusing dan
galak berkicau. Mula timbul rasa pelik dalam diri saya sebab sewaktu mula-mula sampai ke tanah perkuburan, langsung tidak nampak kelibat seekor burung pun.

Saya menyambung kembali bacaan sehingga tamat. Anehnya, sebaik saya habis membaca surah Yasin, bunyi kicauan burung itu hilang serta-merta. Apabila saya mendongak, saya dapati sekawan burung yang berterbangan tadi juga sudah ghaib entah ke mana.

Serentak itu saya terbau haruman yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Baunya amat harum. Saya mencari-cari dari mana datangnya bau harum itu, mungkin dari orang lain yang berkunjung ke kawasan perkuburan itu, tapi saya tidak menemuinya. Tiada orang lain di kawasan perkuburan itu kecuali saya.

Saya kemudian meninggalkan pusara Amid, sedang di dalam kepala masih terfikir-fikir tentang kejadian pelik sebentar tadi. Apabila pulang ke rumah emak, tambah memeranjatkan, apabila saya terbau haruman yang sama di dalam bilik Amid. Saya masuk ke biliknya dan mendapati bau tersebut datangnya dari sudut bilik tempat Amid sering bersembahyang. Subhaanallah! Itu saja yang mampu saya katakan dalam hati.

Bukanlah tujuan saya untuk bercerita tentang kebaikan adik sendiri atau bertujuan untuk berbangga, riak dan sebagainya, tetapi bagi keluarga kami, Amid menjadi contoh seorang anak yang begitu taat kepada ibunya. Dan kisah ini ingin saya kongsikan bersama sebagai satu pengajaran buat kita semua. Setiap kali saya terbaca kisah-kisah sadis dan kejam seperti kejadian anak membunuh ibu, atau anak sanggup menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang-orang tua di akhbar atau majalah, pasti saya akan teringatkan sikap Amid.

Biarpun Amid sudah pergi meninggalkan kami hampir lebih dua tahun lamanya, namun apabila saya terkenangkannya, saya akan menitiskan air mata. Sedih dan terharu apabila mengenangkan pengorbanan Amid terhadap emak. Namun, dalam sedih, ada terselit di hati saya rasa gembira. Sikap taatnya kepada ibu, dan peristiwa pelik yang berlaku pada Amid ketika kematiannya, membuatkan saya yakin, itu adalah petunjuk dari Tuhan, sebagai balasan buat seorang anak yang telah mengabdikan diri terhadap ibu sehingga ke akhir hayatnya.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.
– Surah Luqman ayat 14.

*****************

Sumber: Email

Dipetik dan diubahsuai oleh: WanWMA

4 comments

  1. Subhanallah, kematian akan membuktikan siapakah kekasih Allah dan siapakah musuh Allah…….

  2. sedih dan terharu memmbaca kisah ini..

  3. subahanallah …sebak rasa hati ini ketika sedang membaca ya allah..subahanallah,subahanallah,subahanallah……allah maha besar ,maha pengasih dan penyayang….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*