Memperkenalkan diri adalah suatu perkara asas dalam kehidupan kita dan ianya tidaklah menjadi masalah untuk dilakukan dalam keadaan biasa. Tetapi bagaimana pula keadaannya sekiranya anda berada di atas pentas yang dikelilingi oleh ratusan orang pendengar? Anda dijemput secara mengejut untuk memberikan ucapan. Mungkin anda akan terketar-ketar jika tidak biasa memberikan ucapan di khalayak ramai. Walau bagaimanapun anda tetap perlu bersuara dan memperkenalkan diri anda. Saya tidak akan bincangkan cara-cara nak hilangkan perasaan gemuruh di sini tetapi teknik bagaimana memperkenalkan diri anda semasa memberikan ucapan. Teknik memperkenalkan diri ini juga sesuai digunakan semasa anda bercakap secara one on one.

Baik, pertama sekali anda perlulah mengucapkan salam tanda penghargaan anda kepada hadirin atau orang dihadapan anda. Mengucapkan salam juga adalah satu langkah yang amat baik untuk menghilangkan perasaan gemuruh. Sebaik sahaja anda ingin menyebut nama anda, anda mungkin akan berkata begini:

Nama saya Wan Muhd Ali (contoh)!

Ini adalah cara yang biasa kita gunakan. Saya ingin menunjukkan anda cara yang agak berlainan tetapi memberi impak yang sangat besar kepada pendengar! Caranya mudah, anda boleh menggunakan ayat yang sama tetapi menambahkan sedikit keunikan dalam sebutannya. Gunakan 3 prinsip ini:

1- Stop

2- Pause

3- Punch

Stop/ Berhenti - Bermaksud jangan sambung ucapan anda. Sebagai contoh, sebaik sahaja selesai memberi salam, berhenti seketika sebelum memperkenalkan nama anda. Keluar 1 langkah kehadapan atau rapatkan sedikit kedudukan anda dengan pendengar. Kemudian sebutkan:

“Nama Saya!”

Berhenti seketika. Cara ini dapat menarik perhatian pendengar untuk mendengar sambungan ayat tentang nama anda. Suasana akan menjadi senyap sedetik..dan waktu itulah anda sambung:

“Wan Muhd Ali!”

Gunakan prinsip kedua semasa menyebut nama anda iaitu Pause. Maksudnya jangan terus sambung ayat Wan Muhd Ali, tetapi sebut begini Wan…Muhd…Ali. Pause atau berhenti seketika di setiap penyambungan ayat.

Di akhir ayat nama anda pula gunakan prinsip ketiga iaitu Punch! Atau beri penekanan pada nama akhir anda.

“Wan…Muhd…ALI!!!

Anda boleh menyebut nama akhir anda lebih kuat dari sebutan sebelum ini dan anda perlu menghenjutkan sedikit kepala anda sewaktu menyebutnya. Sekiranya anda berjabat tangan, anda boleh menhenjutkan sedikit tangan anda. Perbuatan ini akan memberi tarikan yang mendalam kepada pendengar! Dan memberi gambaran kepada pendengar bahawa nama yang anda tekankan itulah panggilan nama anda. Sebenarnya penekanan atau Punch ini bukan untuk nama akhir sahaja, tetapi mana-mana bahagian yang menjadi nama panggilan anda. Dalam contoh di atas, sebutan akan menjadi begini:

“Nama Saya!….Wan….Muhd…..ALI!!!”

Nah, ini sahaja buat kali ini. Semoga perkongsian ini dapat memberikan ilmu yang bermanfaat dan pengalaman baru kepada anda. Selamat mencuba dan mengamalkannya. Tiada guna ilmu yang dipelajari jika tidak diamalkan! Wassalam…