السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Masalah di pejabat? Umumnya apabila mendengar persoalan tentang masalah di pejabat biasanya ia dikaitkan dengan kerja atau tugas yang dipertanggungjawabkan. Tetapi sebaliknya masalah yang menjadi suatu fanomena yang hampir tidak boleh dielakkan adalah soal hubungan rakan pejabat. Seringkali berlaku pertelingkahan, umpat-mengumpat, bodek-membodek dan macam-macam karenah lagi yang kita tidak dapat hindari.

“Kita tidak boleh mengubah orang lain, tetapi kita boleh mengubah diri sendiri.”

“Kita tidak boleh mengubah orang lain, tetapi kerana kita orang lain boleh berubah.”

-wan wma

Apa yang ingin saya bicarakan di sini adalah berkaitan rakan pejabat yang kadang-kala menjadi musuh kepada kita. Kalau tidak menjadi musuh pun sekurang-kurangnya ada beberapa orang yang membenci kita atau tidak senang dengan kedudukan kita. Persoalannya kenapa perkara ini berlaku? Jawapan mudahnya adalah kerana kita semua manusia, tidak terlepas dari lumrah seumpama ini. Walau bagaimanapun kita mempunyai pilihan dan peluang untuk memperbaiki keadaan ini. Sebelum itu mari kita semak apakah perkara yang biasa berlaku,

1- Anda di benci oleh rakan sepejabat

2- Anda membenci rakan pejabat kerana sifatnya yang hipokrit, suka menbodek, berlagak, sombong dll

3- Anda dianggap bodoh

4- Anda dianggap sebagai ancaman untuk kenaikan pangkat dll

5- Anda ditikam dari belakang oleh rakan pejabat yang dianggap kawan

6- Anda diancam untuk digulingkan/ dikhianati dan dijatuhkan.

Baik, adakah salah satu perkara di atas pernah atau sedang berlaku kepada anda? Mungkin perkara di atas nampak kecil pada sesetengah orang, tetapi ia merupakan masalah besar kepada sesetengah orang yang lain.

“Besar atau kecil masalah yang diterima bergantung kepada cara kita menerima masalah itu sendiri.”

-wan wma

Bagi diri saya sendiri masalah di atas bukanlah masalah besar dan merumitkan sangat, tetapi bukan maksud saya untuk memperlekehkan perkara di atas. Sebab saya berkata begitu kerana saya pernah melalui semua perkara itu dan saya yakin, ramai di antara pembaca semua pernah melalui perkara di atas, sekurang-kurangnya yang no.2 tu.

Kenapa saya boleh kata semua masalah di atas itu masalah kecil? Perkara pertama yang perlu kita fikir adalah seperti yang saya nyatakan sebelum ini, “kita semua manusia, tidak terlepas dari lumrah seumpama ini”. Belajarlah menerima lumrah ini dan bersiap sedialah sentiasa untuk menghadapinya.

Apa pun bukan itu maksud utama saya menulis post kali ini. Saya ingin kongsikan dengan anda semua cara-cara mengatasi dan menangani masalah seumpama ini. Namun, saya akan berhenti di sini dahulu untuk post kali ini dan akan menyambungnya nanti. Saya ingin membuka ruang untuk kita sama-sama berfikir dan muhasabah diri. Seandainya anda mempunyai pandangan dan pendapat, anda boleh kemukakan terus dalam ruangan komen yang saya sediakan. Komen anda juga dapat membantu memberikan inspirasi kepada saya. Apatah lagi dengan pandangan anda yang disertakan dengan pengalaman yang jauh lebih bernilai dari tips dan langkah yang terdapat dalam helaian kertas.

Setakat ini saja post saya kali ini, nantikan post saya yang akan datang dengan tajuk, Mengatasi Masalah Musuh Di Pejabat.

Wassalam…