AZAM adalah sebuah keinginan. Ia lahir daripada kesedaran seseorang untuk membuat anjakan kepada suatu keadaan yang lebih baik dan akhirnya membenihkan cita-cita. Keinginan tersebut kadang-kadang juga merupakan sebuah ketidakpastian. Dalam erti kata lain, seseorang itu tidak tahu untuk apa dia bercita-cita dan menanam sebuah azam.

Dalam setiap sistem sosial, azam dan cita-cita menjadi sebuah perjalanan budaya. Ia boleh sahaja diintepretasi secara keinginan individu, kelompok atau sebuah negara bangsa. Sejak dahulu kala manusia sentiasa berazam dan mempunyai cita-cita peribadi dan kelompok. Rasa keinginan tersebut berkembang dan akhirnya mencapai kemuncak sebagai maruah bangsa dan kehendak kolektif.

Sejarah peradaban manusia bermula dengan azam dan seterusnya cita-cita. Kemudian ia diwacanakan menjadi sebuah gagasan untuk kepentingan kolektif tersebut. Ini merupakan titik tolak kepada kewujudan kerajaan, empayar, imprealisme, fasisme dan pelbagai ideologi lain. Meletusnya konflik di dunia adalah kerana azam dan cita-cita. Adolf Hitler sanggup mengorbankan ratusan ribu tentera Jerman untuk menguasai Eropah dalam Perang Dunia Kedua adalah kerana semata-mata menyatakan cita-cita dan hegemoni bangsa Aryan.

Bangsa dan kemurnian ras Aryan hanya menjadi objek manakala ideologi Nazi adalah cita-cita sebenar walaupun ia tidak pernah difahami oleh sebahagian daripada rakyat negara itu. Begitu juga perang Jepun di bawah Jeneral Tojo ke atas kuasa-kuasa kolonial di Asia Tenggara. Semuanya atas nama keazaman dan cita-cita. Ia dibungkus dengan propaganda yang luar biasa.

Budaya menanam azam dalam konteks moden ia mengarah kepada pelbagai aspek. Ia boleh sahaja politik, ekonomi, sosiobudaya, ketenteraan dan bahkan ideologi. Secara umum dapat dikatakan azam dan cita-cita dapat dilihat dari dua kerangka pemikiran besar.

Pertama ia harus dilandasi oleh pemahaman teori tentang manusia (theory of human beings).

Kedua, teori tentang kudrat manusia (human nature). Daripada kedua-dua teori ini dapat difahami bagaimana dan mengapa wujud keinginan individu atau kelompok untuk membuat anjakan (azam).

Sebagaimana pandangan pemikir-pemikir moden seperti J.S. Mill, Frederich Hegel, Thomas Hobbes, John Locke dan Jeremy Bentham, azam serta cita-cita manusia berulang-ulang kerana mereka dididik oleh struktur budaya dan kesepakatan sosial. Era pascakolonial bagi negara-negara bekas jajahan merupakan titik kemuncak daripada azam dan cita-cita. Sebahagian besar pemimpin negara baru itu menanam cita-cita sosial yang menggunung sebagai projek birokrasi.

“Azam dan cita-cita pada era pascakolonial mula memasuki babak baru. Pemimpin-pemimpin negara baru mula menginginkan sebuah anjakan ekonomi, politik dan sosial yang bebas dari acuan kuasa penjajah mereka. “Bahkan, yang lebih menarik adalah keadaan suku-suku asli yang turut mempunyai keazaman untuk berada pada landasan anjakan itu,’’ tulis Marshall Sahlins dalam The Original Affluent Society. Pandangan oleh Mill, Hegel, Hobbes atau Bentham sebenarnya sangat menarik untuk dikaitkan dengan masyarakat kita dalam konteks azam dan tahun baru - perjalanan budaya masyarakat Malaysia. Menjadi rutin sebahagian besar masyarakat kita yang akan menanam azam dan cita-cita apabila melangkah ke tahun baru. Antaranya membaiki kelemahan diri untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.

Namun, tidak pernahkah kita berfikir untuk mengambil kesempatan daripada `budaya’ menanam azam tersebut untuk mewujudkan kepentingan kolektif dalam erti kata pengukuhan negara bangsa. Semangat menyambut tahun boleh digunakan oleh setiap lapisan masyarakat dan pemimpin untuk bersama-sama mencari titik temu bagi perbezaan antara kaum dengan tujuan mengukuhkan integrasi.

Agak menyedihkan apabila sebahagian masyarakat kita meletakkan azam dalam konteks kepentingan individu atau sistem kekerabatan semata-mata. Sedangkan masih ada sesuatu yang lebih penting iaitu integrasi dan kesatuan kaum. Ahli antropologi, Brian Fay dalam bukunya, Contemporary Philosophy of Social Science: A Multicultural Approach (1996) mengutara pandangan yang sangat bernas dalam konteks ini.

Fay meletakkan kepelbagaian budaya sebagai struktur bangunan konsep-konsep untuk dijadikan acuan bagi memahami dan mengembangluaskan integrasi dalam kehidupan masyarakat. Cuma bagi kita, azam hanya sebuah keinginan dan ketidakpastian yang difikirkan apabila menjelang tahun baru. Ini kerana kita telah menjadi makhluk budaya yang dibentuk oleh pemahaman warisan.

Jika meminjam pandangan ahli antropologi, Melville J. Herskovits dan Bronislaw Malinowski, kita adalah sebahagian daripada cultural-determinism - sesuatu yang turun temurun dari satu generasi ke generasi yang lain, yang juga disebut sebagai superorganik.

-Utusan