Diceritakan oleh USTAZ NAHRAWI MARZOKI

PERISTIWA yang ingin saya ceritakan adalah mengenai satu
jenazah yang  bagi saya cukup aneh.. Darah tak putus-putus
keluar daripada seluruh  tubuhnya. Tak tahulah kenapa… tapi
dari sejak Allahyarham meninggal  dunia, darah tak
berhenti-henti keluar.

Allahyarham ini meninggalnya kerana sakit, bukan sebab
kemalangan.  Doktor pun mengesahkan tidak ada penyakit yang
boleh sebabkan jenazah  berdarah macam itu sekali. Apakah yang
berlaku kepada Allahyarham?

Peristiwa tersebut berlaku beberapa tahun lalu di sebuah tempat
di  Selangor. Tapi maaflah, nama orang dan nama tempat kejadian
tak dapat  saya ceritakan ialah Allahyarham ini adalah seorang
lelaki, meninggal  ketika berumur 50-an atau 60-an tahun dan
semasa hidupnya,
Allahyarham bolehlah kita golongkan sebagai orang kaya. Dia
pegawai  kerajaan dan pernah menjadi penolong pengarah agensi
tempat dia  bekerja.

Allahyarham ini ada beberapa orang anak. Beliau meninggal dunia
di  rumahnya pada pukul 8.30 malam kerana sakit biasa.Tapi saya
diberitahu doktor pun tak tahu apa penyakit yang dihadapinya.

Tapi yang menimbulkan pertanyaan dan keinsafan ialah apabila
Allahyarham habis saja nazak dan lepas itu menghembuskan
nafasnya  yang terakhir, tiba-tiba saja darah mula keluar
daripada seluruh  tubuhnya, khususnya dari liang-liang dan
rongga-rongga. ..dari mulut,  telinga, hidung, mata, celah-celah
bulu roma dan celah-celah kuku.  Mula-mula sedikit, tapi makin
lama makin banyak sampai mayat itu  dipenuhi darah. Darah itu
pun tak putus-putus keluar. Cukup
mengerikan.. .dan menyedihkan.

Apabila tengok mayat ayahnya itu lain macam, anak Allahyarham
pergi  ke rumah saya. Masa itu kira-kira pukul 11.00 malam.
Kebetulan pula  anak Allahyarham itu murid saya yang memang
saya kenal sangat.

Dalam keadaan yang sedih bercampur panik dia berkata, “Ustaz,
ayah  saya meninggal dunia. Ustaz boleh tolong tak?”

Saya kata, “Boleh, tapi kenapa pula? Ada masalah ke?”

“Mayat ayat saya ni agak lain sikitlah ustaz. Saya minta
sangatlah  ustaz dapat tolong kami,” kata anak Allahyarham
tadi. Bagaimanapun  dia tidak ceritakan pada saya apa yang
terjadi pada mayat ayahnya  itu.

Saya pun pergi ke rumahnya. Apabila sampai di rumahnya baru dia
ceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Saya naik ke atas rumah
dan  terus pergi ke tempat Allahyarham diletakkan dan…
masya-Allah, saya  tengok darah sudah penuh di seluruh badan
Allahyarham. Baunya pun  semakin hanyir. Busuk. Dan busuknya
pun lain dari yang lain…sukar  untuk saya gambarkan hinggakan
kemenyan yang dibakar dan bau-bauan  pun tak boleh mengurangkan
bau busuk mayat itu.

Apabila saya pandang wajah Allahyarham, saya lihat ia seperti
dalam  keadaan cemas, takut… langsung tidak ada tanda-tanda
kejernihan dan  nur di wajahnya. Apa yang sebenarnya dialami
dan dirasai oleh  Allahyarham ketika itu wallahuaklam. Allah
yang lebih mengetahui.

Maha suci Allah, mayat ini cukup pelik sebab baru dua jam lebih
dia  meninggal tapi begitu aib sekali keadaannya. Dalam hati
saya berdoa  dan beristighfar supaya saya dapat uruskannya
dengan cara terbaik dan  tidak berlaku lagi sesuatu yang
mengaibkan Allahyarham.

Saya pelawa beberapa orang kawan untuk uruskan jenazah tadi.
Kami  ambil kapas dan tutup mulut, hidung, mata, telinga dan
rongga-rongga  besar pada mayat. Tapi Allah itu Maha Berkuasa,
kapas itu tidak mampu  menahan darah yang keluar.

Apabila dicabut kapas yang sudah basah dengan darah utuk
diganti  dengan kapas yang lain, darah meleleh keluar dari
rongga-rongga tadi.  Menjejes hingga kain dan tikar tempat kami
baringkan mayat itu  menjadi merah. Tidak tahulah berapa banyak
kapas yang kami gunakan,  tapi tak berkesan.

Allah jua yang menentukan. Tidak cukup dengan darah, tambah
menyedihkan saya ialah muka dan kulit di seluruh tubuh
Allahyarham  tadi tiba-tiba menggerutu. Keluar satu bahan
berlendir, menggerutu  macam cacar yang berbonjol-bonjol di
muka dan badannya.

Bonjol-bonjol kecil itu seperti bernanah dan busuk baunya.
Makin lama  bonjol-bonjol itu makin banyak hingga tidak
keterlaluan kalau saya  katakan di sini iaitu wajah jenazah
tersebut sudah tidak menyerupai  wajah manusia lagi.

Melihat keadaan mayat yang sebegitu rupa, saya pun katakan
kepada  semua kaum keluarga Allahyarham dan pembantu saya,
“Kita mesti  kebumikan jenazah ini malam ini juga.” Mereka
bersetuju. Selain  daripada dua orang pembantu, tiga orang anak
Allahyarham juga  menolong saya menguruskan jenazah bapanya.
Tapi sedih, seorang demi  seorang anak Allahyarham itu pengsan
kerana tidak sanggup melihat  keadaan mayat bapa mereka itu.
Akhirnya tinggallah saya dengan dua  pembantu saya tadi.

Bagi mengelakkan tohmahan orang dan tak mahu kain kapan menjadi
merah, saya ambil keputusan untuk membalut Allahyarham dengan
plastik…plastik alas meja yang berwarna putih. Selepas itu
barulah  kami balut mayat tadi seperti biasa dengan kain putih.
Mengikut  syarak, mayat tidak digalakkan dikebumi malam-malam.
Tapi dalam  keadaan darurat seperti itu saya tidak boleh tunggu
lama-lama.  Kebetulan pula kawasan perkuburan terletak tidak
jauh dari rumah  Allahyarham, kira-kira dua kilometer sahaja,
jadi kami cari lampu dan  spotlight. Dalam waktu dinihari yang
gelap dan sejuk itu kami suluh  jalan dan kawasan kubur
Allahyarham. Kami mula kebumikan Allahyarham  itu kira-kira
pukul 1.30 pagi.

Sampai saja ke kuburnya , berlaku sekali lagi peristiwa aneh,
yang  amat mengharukan. Kuburnya dipenuhi air! Air itu macam
air biasa tapi  tak putus-putus keluar dari celah bumi. Ini
memang aneh sebab hari  itu tidak hujan. Kalau hendak dikatakan
kawasan kubur itu rendah,  lembah.. tak juga sebab sudah banyak
kubur di situ tapi tak pernah  pula terjadi macam ini.
Memandangkan orang ramai sudah mula kecoh,  kami ambil
keputusan mengebumikan juga mayat itu dalam keadaan ia
ditenggelami air.

Menyedihkan. Apabila mayat mencecah saja ke air, maka air itu
bertukar menjadi merah kerana bercampur dengan darah. Hanyir,
busuk…..susah saya nak cakap macam mana baunya ketika itu.
Makin  lama warna air itu makin merah. Mujur waktu itu tengah
dinihari,  orang yang datang ke kubur tak nampak sangat. Kalau
siang…

Kami pun benamkan jenazah tadi, endal betul-betul dan kemudian
tutup  dengan papan. Kami buat betul-betul supaya jenazah tidak
terlungkup.  selepas selesai semuanya. kubur pun dikambus.
Selesai ditalkinkan,  saya dan semua yang menghantar
Allahyarham ke kubur kembali semula ke  rumah masing-masing dan
saya menenangkan keluarga Allahyarham yang  bersedih.

Entah apa kesalahan yang telah Allahyarham lakukan saya tak
tahulah.  Yang tahu cuma Allah dan Allahyarham. Bagaimanapun
saya yakin ia  adalah balasan Allah kepada Allahyarham. Bagi
saya ini satu iktibar.  Saya tidak mengatakan Allahyarham telah
melakukan sesuatu kesalahan  besar tapi bagi saya, darah ini
mempunyai tiga kaitan dan mungkin apa  yang berlaku pada
Allahyarham ada kaitan dengan salah satu
daripadanya. Saya kata mungkin….bukan menuduh.

PERTAMA, janganlah sekali-kali kita membunuh orang.Membunuh
pula  banyak caranya. Saya bukan kata Allahyarham ada membunuh
orang tapi  perlu diingat darah itu mahal harganya.

KEDUA, ia mungkin ada kaitan dengan makanan dan minuman.
Jang anlah  kita memakan makanan dan minuman yang haram sebab ia
menjadi sumber  darah yang mengalir dalam tubuh kita ini.
Jauhkanlah diri daripada  rasuah, makan harta anak yatim atau
duit masjid, harta pusaka dan  sebagainya yang bukan milik
kita.

KETIGA, hormatilah darah. Kalau ada darah di rumah atau di
jalan raya  akibat kemalangan, bersihkanlah dengan air. Bagi
perempuan, ingin  saya ingatkan. Cucilah tuala wanita (semasa
haid dan nifas) selepas  anda menggunakannya. Bersihkan darah
dengan air bersih baru dibuang  tuala itu. Jangan buang begitu
saja selagi masih ada darah kotor yang  melekat pada tuala itu.
Walaupun darah itu kotor, tapi ia juga  makhluk Tuhan yang
perlu dihormati.

Renungkanlah diri kita dan jadikanlah kisah ini sebagai
iktibar.  Ingatlah, suatu hari nanti kita juga kan menghadap
Allah S.W.T.  Berdoalah supaya perkara-perkara aib macam ini
tidak terjadi pada  kita.