Bagaimana Mengetahui Minat & Kemahiran Anda? (sambungan2)
Pengatahuan, Umum, Pandangan, Pesanan, Minda, Motivasi February 12th, 2008Ehem…post ini disambungkan lagi. Kali ini saya akan mengukuhkan lagi pandangan dan pendapat saya tentang kepentingan KEMAHUAN berbanding MINAT dan KEMAHIRAN. Dalam post saya sebelum ini saya telah nyatakan bahawa pokok pangkal dalam mencapai kejayaan sebenar bukanlah bergantung kepada minat dan kemahiran tetapi kemahuan. Ramai di antara kita sibuk dengan menyatakan “Buat apa yang anda suka!” Kenyataan ini sebenarnya lebih bermaksud “Buat apa yang anda minati!”
Sekiranya benar saya cabar anda sekarang, buat sahaja apa yang anda suka! Adakah anda suka bangun pagi-pagi dan pergi ke pejabat? Tak suka? So, jangan buat! Adakah anda suka dengan kerja anda? Kalau suka teruskan. Tapi sekiranya tidak, berhentilah berbohong sekarang sekiranya anda memegang prinsip “Buat apa yang anda suka!” Tolong beritahu saya berapa orang dalam 100 orang pelajar yang sambung belajar dalam bidang yang betul-betul mereka minati. Beritahu saya dalam 100 orang pelajar IPT yang tamat belajar dalam bidang Multimedia bekerja dalam bidang yang sama. Beritahu saya dalam 100 orang pelajar IT berapa orang yang menggunakan kemahirannya untuk berniaga sekiranya kemahiran itu begitu penting seperti yang diperkatakan,”Buat apa yang anda mahir!”
Kini anda beritahu saya pula, dalam 100 orang peniaga internet sekarang, berapa orang yang sebenarnya minat dengan internet sebelum memulakan perniagaan di internet? Dan berapa orang pula yang betul-betul mahir sahaja yang memulakan perniagaan internet? Pada saya, hampir 80% adalah terdiri daripada orang2 yang tidak berminat dengan perniagaan internet (sebelum mengetahui potensinya) dan tiada kemahiran langsung berniaga melalui internet. Jadi, adakah mereka buat apa yang mereka suka? Adakah mereka buat apa yang mereka mahir? Salah! Mereka belajar apa yang mereka MAHU!
Tahukah anda:
1. Sistem telefon suis penukar automatik telah dicipta oleh Almond B. Strowger- Apakah pekerjaan beliau? - Pembina jambatan
2. Kod morse dan telegraf telah dicipta oleh Samuel Morse - Apakah pekerjaan beliau? - Doktor Haiwan.
3. Kapal terbang yang pertama dicipta oleh adik-beradik Wright - Pelukis potret
4. Mesin penyedut hampagas (vacuum cleaner) yang moden telah dicipta oleh Hubert Booth. - Pengurus pengembumian jenazah
5. Alat litograf yang digunakan dalam industri percetakan dicipta oleh Alois Senefelder. - Penulis skrip lakonan/ drama.
Pelikkan? Pertama, apa yang diciptakan oleh mereka tiada kaitan langsung dengan kerja mereka. Ini bermaksud mereka memang tidak mahir langsung dalam menghasilkan apa yang diciptakan oleh mereka sebelum itu. Kedua, anda rasa bagaimana mereka boleh meminati benda yang belum wujud? Kapal terbang contohnya, bagaimana mereka boleh meminati kapal terbang sedangkan benda itu belum dihasilkan? Sekali lagi jawapanya, meraka hanya buat apa yang mereka mahu. Mereka tidak perlu tahu sama ada perkara itu ada atau tidak. Minat dan kamahiran lahir kemudian sejurus mereka membuat keputusan untuk melakukan apa yang mereka mahu.
Jadi, sekiranya anda ingin melakukan sesuatu, berniaga di internet contohnya. Kenapa anda harus melihat kepada minat dan kemahiran anda sebelum ini? Apa sebenarnya yang anda mahu? Kadang-kadang pemikiran ini telah menyebabkan anda buntu dan pening memikirkan apakah minat dan kemahiran anda yang boleh diterjemahkan untuk menghasilkan pendapatan! Anda sebenarnya ingin menghasilkan pendapatan (itu sebenarnya kemahuan anda). Tetapi anda ingin menggunakan minat dan kemahiran anda untuk merealisasikan kemahuan itu. Dengan ini pemikiran anda berkitar pada sudut yang sama. “Macamana nak buat duit dengan minat dan kemahiran aku? Apa minat dan kemahiran aku? Macamana nak buat duit dengan minat dan kemahiran aku? Apa minat dan kemahiran aku? Alamak! Peningnya!!!”
Pada post yang lepas saya telah nyatakan yang saya akan terangkan bagaimana menggunakan minat dan kemahiran anda dalam merealisasikan apa yang anda mahu. Saya tidak akan terangkan lagi untuk post kali ni. Saya cuma ingin berkongsi dengan anda. SAYA SEBENARNYA TIDAK BERMINAT LANGSUNG MELUKIS POTRET! Saya juga tiada kemahiran dalam melukis potret. Saya belajar dan berusaha demi memenuhi kehendak pasaran. Dalam tempoh 10 tahun melukis (saya melukis potret baru 3-4 tahun), seingat saya, saya tak pernah melukis potret wajah sendiri lebih daripada 10 lukisan. 3-4 lukisan wajah saya yang saya lukis itu pun hanya sekadar untuk memberikan contoh kepada pelanggan. Tetapi kenapa saya terus melukis sehingga kini? Sebab pertama adalah kerana itulah salah satu cara bagaimana saya ingin merealisasikan impian saya.
Sahabat saya pernah bertanya, “Apa sebenarnya yang kau mahu buat?” Saya menjawab, “Aku nak lakukan apa yang aku suka, kalau rasa nak g kerja aku g kerja, kalau tak nak tak payah pergi. Kalau rasa nak melukis aku lukis, kalau tak nak aku buat benda lain. Lepas tu, aku nak duit masuk dalam bank aku tiap-tiap hari. Banyak pulak tu! Bukan tu jer, aku nak kawan-kawan aku pun dapat perkara yang sama! Huahahaha…hahaha!” Sahabat saya turut ketawa dan berkata, “Banyak cantik muka kau! Kalau tak buat kerja sapa nak bagi kau duit! Orang berniaga pun kena kerja baru dapat duit!” Saya menjawap lagi “Aku tahu, tapi aku tahu aku boleh melakukannya! Ada cara dan sistemnya!” Kawan saya tanya lagi “Macamana?” Saya jawap dengan selamba “Mana aku tahu, Huahahahaha!” Kami pun ketawa sekuat hati (cerita ni benar, tapi ada tokok tambah sikit). Sebenarnya saya memang tahu caranya. Tapi ianya bukanlah begitu mudah untuk diterangkan. Penerangan itu lebih mudah dengan menunjukkan kejayaan daripada bercakap. So, saya tamatkan perbincangan kami di situ. Saya juga tidak akan ceritakan kepada anda rancangan saya itu. Bak kata Datuk Siti “Biarlah Rahsia”. Yang penting biarlah saya berjaya dulu. Dan apa yang saya kata “Aku nak lakukan apa yang aku suka, kalau rasa nak g kerja aku g kerja, kalau tak nak tak payah pergi. Kalau rasa nak melukis aku lukis, kalau tak nak aku buat benda lain. Lepas tu, aku nak duit masuk dalam bank aku tiap-tiap hari. Banyak pulak tu! Bukan tu jer, aku nak kawan-kawan aku pun dapat perkara yang sama! Huahahaha…hahaha!” Saya bukan bergurau. Itulah kemahuan saya…(selain kemahuan saya yang lain yang saya rasa tidak perlu saya nyatakan di sini)
Sekarang anda pun bolehlah ketawakan saya. Sebab saya sendiri pun rasa apa yang saya mahu tu memang kelakar sikit..huuhuhuhu…saya akan terangkan bagaimana menggunakan minat dan kemahiran anda dalam merealisasikan apa yang anda mahu dalam post yang akan disambungkan akan datang. Tunggu yer…bersambung…




Recent Comments