Beberapa minggu yang lepas saya ada membaca beberapa komen dalam sebuah blog yang agak popular di kalangan peniaga internet. Saya yakin selain saya, masih ada ramai pembaca lain yang pernah membaca komen seperti tajuk di atas.

“Anda Tidak Kenal Siapa Saya!” Apakah maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh penulis? Di sini pula saya bukanlah bermaksud ingin berbahas, berdebat atau menyalahkan sesiapa. Cuma ingin berkongsikan sedikit pandangan dari pengalaman kecil saya.

Saya ingin bertanya kepada anda satu soalan yang mudah tetapi mungkin sukar untuk dijawab. Apakah pentingnya orang lain mengenali siapa anda? Maksud soalan ini ialah apa pentingnya orang lain mengetahui sejarah anda? Adakah dengan mengetahui atau mengenali anda dengan sejarah hidup anda orang lain akan menghormati anda? Jawapannya YA jika mereka tidak mengenali anda (itupun jika sejarah hidup anda hebat)!

Tetapi jika mereka mengenali anda, mereka akan berfikir 2 kali. Kenapa? Kerana bagi setiap individu normal, MENGENALI SIAPA ANDA itu sebenarnya TIDAK PENTING! Yang PENTING bagi mereka adalah MENGENALI SIKAP ANDA!

Siapa kita pada pandangan orang langsung tidak memberikan impak yang besar untuk orang menghormati kita. Jika anda Menteri Besar sekali pun, kalau sikap anda teruk tiada siapa pun yang akan sukakan anda melainkan mereka yang lebih teruk daripada anda! Usahlah anda dibayangi kehidupan yang lepas atau merasakan betapa hebatnya diri anda. Ubahlah sikap anda yang tidak elok supaya anda bukan DIKENALI tetapi DIHORMATI kerana sikap mulia yang amat terpuji dan disenangi sesiapa sahaja. Tidak kira kawan ataupun lawan!

Jika Anda Ingin Membina Perniagaan, Bina Diri Sendiri Dahulu!

Jika Anda Ingin Mengubah Orang Lain, Ubah Diri Sendiri Dahulu !

Jika Anda Ingin Mengubah Dunia, Ubah Diri Sendiri Dahulu!