Friday , 20 October 2017
Terbaru

Ilmu, Iman & Amal

llmu, Iman Dan Amal

Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:

“Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.” (Bukhari)

Kepentingan Ilmu

 Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” Riwayat al-Bazzar.

Keistimewaan Orang Yang Menuntut Ilmu

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi – sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut – sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai.” Abu Umamah r.a.

Ganjaran Orang Yang Memberikan Ilmu.

Nabi s.a.w bersabda:

“Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya Allah Taala berfirman kepada Malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal salih yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya.” Anas r.a.

Jangan Kedekut Memberi Ilmu

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat.” Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi.

Kaya Harta Dan Kaya Ilmu

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:

“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.”(al-Bukhari)

Mereka Bukan Umatku!

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang tidak mematuhi Imam dan memencilkan diri dari jamaah lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah. Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan dan berperang kerana fanatik kesukuan (kebangsaan), dia bukanlah umatku. Dan sesiapa yang keluar dari umatku lalu menyerang umatku, membunuh orang-orang baik dan orang-orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak dan tanpa mengendahkan janji yang telah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku.” (Muslim)

Mengapa Mesti Kembali Kepada Jahiliah?

 Daripada ‘Amru bin al-‘Ash r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud:

“Tidakkah engkau ketahui bahawa Islam itu meruntuhkan apa yang ada sebelumnya, hijrah menghapuskan apa yang ada sebelumnya dan sesungguhnya haji itu menghapuskan apa yang ada sebelumnya?” (Muslim)

*Kredit kepada Darul Murtadza.

 Semoga Allah jauhkan kita daripada kejahilan yang membinasakan.. Semoga kita tidak menjadi orang yang merosakkan orang lain sebaliknya menjadikan diri kita bermanfaat untuk orang lain. Semoga Allah merahmati hidup kita dan memberkati setiap ilmu-ilmu yang masuk di dalam hati kita. Semoga Allah rahmati masyarakat, dan jauhkanlah kami daripada berpecah belah…

Oleh: FarishSaurukent’s Site.

One comment

  1. syukran..sngat bermanfaat..mohon izin untuk mengkopi paste ea..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*