Monday , 24 April 2017
Terbaru

HUDUD ~ Apa Jawapan Kita Kepada ALLAH?

Assalamualaikum Saudara WanWMA.

Saya ingin menanyakan sesuatu berkenaan HUDUD. Sejak akhir-akhir ini HUDUD sentiasa dibicarakan di media-media massa mahupun elektronik dan ini berkemungkinan disebabkan oleh mungkinnya pilihanraya umum yang semakin dekat. Seperti yang kita tahu Parti PAS yang dinaungi oleh Tun Guru Nik Aziz sentiasa melaungkan pelaksanaan Hukum HUDUD namun persoalannya adakah pelaksanaannya boleh dilaksanakan sekarang kerana pada hemat saya hukum Hudud ini banyak benda perlu dititikberatkan. Antaranya dari segi Ilmu,tahap keimanan, Sosio Ekonomi, Kebajikan dan sebagainya.

Untuk Huraian yang lebih jelas katakan lah Parti PAS ingin laksanakan HUDUD di negeri Kelantan, adakah rakyatnya telah cukup keimanannya dan ilmunya terhadap ajaran Islam yang sebenarnya, manakala dari segi sosio-ekonomi adakah kerajaan Kelantan dari segi ekonominya rakyatnya hidup dalam keadaan aman dan damai sehingga tidak perlu rakyatnya mengemis, papa ataupun berhijrah ke ke negeri lain untuk mendapatkan sesuap nasi dan akhirnya dari segi kabajikan adakah kerjaan kelantan mempunyai dana yang cukup untuk memberi bantuan kepada rakyatnya yang dipotong tangan akibat mencuri kerana kemungkinan si pencuri tidak mampu lagi berdikari untuk mencari nafkah tambahan lagi sekiranya sudah bekeluarga kerana apa yang kita tahu dikalangan rakyat kelantan sendiri pun hidup susah. Justeru saya ingin mendapatkan pandangan daripada saudara WanWMA berkenaan isu ini?

Waalaikumussalam…

Terima kasih saya ucapkan kepada anda yang bertanya. InsyaAllah di sini saya akan terangkan secara panjang lebar tentang persoalan yang ditimbulkan. Bagaimanapun terlebih dahulu ingin saya nyatakan di sini bahawa saya tidak akan mengemukakan pendapat, pandangan atau cadangan. Sebaliknya saya hanya akan menghuraikan soal jawab mengikut hukum dan syariat Islam semata-mata.

Petikan dari Wikipedia:

Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah S.W.T di dalam Al-Quran dan Hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah S.W.T yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim.

Hudud adalah hukum Allah yang sama kewajipannya ke atas umat Islam seperti solat, puasa, haji, nikah kahwin dan jual beli. Jika ditanya apa pandangan saya tentang hudud dan patutkah ia dilaksanakan, ia seolah-olah kita bertanya “Apakah pendapat anda tentang solat? Patutkah ia dilaksanakan? Adakah sudah cukup keimanan kita untuk menunaikan solat?”

Jika begini maka Allah sendiri telah mengajar kita untuk menjawabnya iaitu “Sami’na wa ato’na ~ Aku dengar dan aku patuh!”. Persoalan yang boleh ditimbulkan bukan “Patutkah hudud dilaksanakan?” tetapi “Bagaimanakah cara untuk melaksanakannya?

Islam itu terdiri dari 4 faktor:

  1. Ibadah
  2. Muamalat (ekonomi atau jual beli)
  3. Munakahat (perkahwinan dan perhubungan)
  4. Jinayat (perundangan) ~ Di sinilah terletaknya undang-undang hudud.

Jika kita hanya mengambil sebahagian daripadanya maka kita mungkin akan terkeluar dari Islam. Ini adalah perkara yang serius.

httpv://www.youtube.com/watch?v=ffEzwPEo5KE

Ingin membicarakan soal hudud perlukan ilmu. Jika tiada ilmu, saya sendiri tidak berani mempersoalkan hukum Allah. Samada ia dilaksanakan atau tidak dilaksanakan, itu hak pihak berkuasa. Kita sebagai masyarakat apakah yang patut kita lakukan? Sebaiknya tanamkanlah ke dalam hati dan berdoa supaya hukum Allah berjaya ditegakkan tidak kira dalam keadaan apa sekalipun. Kerana suatu hari nanti kita akan mati dan akan dihisab. Apakah yang ingin kita jawab sekiranya kita adalah golongan yang mempersoalkan hukum Allah? Meskipun mungkin kita ada jawapannya namun mungkinkah jawapan itu bertepatan dengan kehendak Allah?

Oleh itu, lebih bijak jika kita memilih untuk berkata “Ya Allah, aku tidak layak untuk memastikan hukum Mu dilaksanakan di negaraku. Namun akulah antara orang yang ingin menegakkannya! Sesungguhnya aku dengar perintah-Mu dan aku patuh!”. Senadainya kita ingin mempersoalkan juga, maka jawapan kita hanya akan berpaksikan kepada keupayaan fikiran manusia semata-mata. Bukan kehendak hukum. Dan di bawah ini adalah antara jawapan yang diberikan oleh para artis.

Pandangan Artis

Kenyataan mereka telah menimbulkan banyak salah faham orang ramai dan turut menyebabkan kemarahan golongan yang selayaknya memberikan hujah. Disebabkan itu Wardina selaku artis memberi teguran:

Nak minta para rakan artis untuk tidak komen perkara yang kita TIADA ilmu seperti Hukum Hudud. Para wartawan juga tidak seharusnya menyoal.Wardina Safiyyah OfficialPage

Mereka ini bukanlah berniat untuk menentang atau memburukkan hudud. Namun tidak berguna bercakap-cakap perkara yang kita tidak ketahui. Hudud bukanlah hukum yang boleh dijadikan bahan bicara berdasarkan pendapat semata-mata. Tersilap cakap, boleh rosak akidah dan terkeluar dari Islam. Untuk keterangan lanjut ikuti video ini:

httpv://www.youtube.com/watch?v=h_RcxtMp0j8

Kenyataan Pemimpin

Kita akan mengikut pemimpin kita di akhirat kelak. Justeru itu, pilihlah pemimpin yang mempertahankan hukum Allah. Bukan pemimpin yang memandai-mandai dalam hal agama. Akidah dalam hati kita hanya kita dan Allah yang tahu. Janganlah sesekali kita mempertikaikan hukum-Nya. Biarlah mereka yang pandai dan bijak itu jawab sendiri hukum yang mereka cipta di hadapan Allah, jangan sampai kita tertanggung sama memikul beban untuk menjawabnya.

Pandangan Golongan Ustaz:

Ustaz Zaharuddin:

httpv://www.youtube.com/watch?v=cZgx2PetslQ

Ustaz Fathul Bari:

httpv://www.youtube.com/watch?v=i1umJAGrrDE

Dr. Mohd Asri: 

httpv://www.youtube.com/watch?v=rgJC6B8lTHY

Ustaz Azhar Idrus:

httpv://www.youtube.com/watch?v=52TtHN5XynY

Terdapat banyak lagi keterangan yang mungkin berbeza-beza dari kalangan ustaz-ustaz yang berpengaruh seperti mereka di Malaysia. Saya hanya senaraikan sebahagian daripadanya. Setelah anda menghayati kesemua video-video di atas anda sendiri berkemungkinan akan pening dan tidak tahu siapa yang betul dan siapa yang salah.

Nasihat saya, ikutlah saja apa yang telah jelas Allah perintahkan. Bagi mereka yang berilmu, pandai berhujah dan memberi pendapat, biarkan mereka kerana mereka bercakap dengan ilmu. Mereka tahu dan faham apa yang mereka perkatakan, sekiranya Allah mempersoalkan mereka di akhirat kelak, maka dapatlah mereka menjawab dengan ilmu yang ada. Sebaliknya kita jadilah orang yang patuh dan berpihak kepada orang yang ingin menegakkan hukum Allah. InsyaAllah lebih mudah untuk kita menjawab soalan di akhirat kelak.

Kejamkah Hudud?

Sebelum ini kita didedahkan dengan gambar hukuman hudud yang dijalankan di Somalia. Lihat gambar di bawah:

Gambar ini dipetik dari akhbar KOSMO. Hukuman seumpama ini dilihat seolah-olah kejam. Namun kita perlu faham bahawa terdapat beberapa perkara yang tidak betul dalam hukuman di atas.  Ia tidak mengikut syariat Islam. Antaranya, tidak membalut keseluruhan badan pesalah yang hendak direjam, menggunakan batu yang besar (sepatutnya kecil) dan beberapa kesalahan lain.

Hukum hudud perlu dilaksanakan mengikut peraturan yang betul. Bukan dijalankan secara rambang seperti gambaran di atas. Mari bandingkan sejauh mana kejamnya hudud berbanding hukuman cara civil yang digunakan sekarang melalui gambar di bawah:

Dari gambar ini anda boleh nilaikan sendiri sebenarnya hukuman mana yang lebih kejam. Selain dari itu cuba kita bayangkan sendiri apa yang berlaku sekarang dengan hukuman yang diperintahkan dalam Islam. Disebabkan tidak terlaksananya hudud, kes perzinaan berlaku di merata tempat. Bunuh, rogol, buang anak, bunuh bayi yang baru dilahirkan dan pelbagai lagi kes jenayah yang membabitkan nyawa manusia terus meningkat. Ketika saya menulis artikel ini, keluar berita dari myMetro tentang seorang bapa yang meliwat anak lelakinya yang berusia 23 hari. Sebelum ini seorang bayi dibuang dari tingkat 2 dan pelbagai kes pembunuhan kejam berlaku. Selagi kita menganggap hukum Allah itu kejam maka percayalah akan lahir lebih ramai manusia-manusia kejam seperti ini.

Adakah Dengan Hudud Kita Boleh Membasmi Masalah Jenayah?

Samada hudud boleh menyelesaikan masalah jenayah atau tidak itu bukan hak kita untuk menentukannya. Yang Allah suruh kita buat ialah jalankan perundangan Islam, tentang keberkesanannya itu biarlah Allah sendiri yang menentukannya. Lagipun selama ini adakah undang-undang civil mampu mengatasi masalah jenayah? Sudah tentu tidak. Semuanya adalah atas kekuasaan Allah. Dan kita perlu percaya pada-Nya.

Kalau Tangan Dipotong Bagaimana Seseorang Itu Mahu Mencari Rezeki?

Selama ini yang memberi rezeki adalah Allah, bukan tangan. Kita perlu faham bahawa seluruh dunia dan setiap anggota badan kita ini adalah milik Allah. Ia hanyalah sekadar pinjaman. Apabila kita menyalahgunakan tangan yang dipinjamkan ini dengan mencuri, maka Allah memerintahkan supaya tangan itu dipotong. Maka apakah kelayakan kita untuk mempersoalkan hak pemilik tangan tersebut?

Ramai yang berkata tanpa tangan manusia tidak dapat mencari rezeki. Cuba jawab 2 soalan ini:

  1. Apakah rezeki yang dapat kita cari jika harta kita asyik dicuri oleh mereka yang ada tangan tetapi menyalahgunakannya?
  2. Jika dibandingkan manusia yang mempunyai tangan dengan golongan kurang upaya yang tidak memiliki tangan, golongan manakah yang sebenarnya lebih ramai miskin dan papa kedana?

Rasulullah & Sahabat Pernah Mengugurkan Hukum Potong Tangan Ketika Perang & Ketika Musim Kemarau, Ini Menandakan Hukum Hudud Tidak Sesuai Dijalankan Dalam Sesuatu Keadaan!

Ya, jika benar sekali pun Rasulullah pernah menggugurkan hukum hudud dalam sesuatu keadaan, tetapi Rasulullah tidak pernah menolak hukum hudud dan meletakkan undang-undang manusia sebagai pegangan. Persoalannya sekarang ialah kita sedang menggunakan undang-undang yang dihasilkan oleh manusia dan ia dicipta oleh orang kafir. Dalam masa yang sama juga kita menolak hukum hudud secara total kerana dirasakan tidak sesuai.

Seandainya hukum rejam atau potong tangan dikatakan tidak sesuai dilaksanakan ketika ini, kenapa tidak ditukar saja hukum sebat kepada cara Islam yang lebih adil dan berperikemanusiaan? Persoalannya di sini bukan sesuai atau tidak, tetapi bagaimana pelaksanaan hudud itu akan dijalankan dalam krisis ekonomi yang tidak menentu dan dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama. Hudud itu merangkumi pelbagai aspek undang-undang. Bukan setakat potong tangan atau rejam semata-mata.

Letakkan dahulu undang-undang Islam itu sebagai undang-undang yang digunapakai dalam negara, bagaimana pelaksanaannya itu akan diperincikan oleh pihak yang bertanggungjawab. Jika kita menolak terus 100% hukum hudud yang ditetapkan oleh Allah, apa kita mahu jawab di hadapan Allah kelak?

Masyarakat Kita Berbilang Kaum Dan Agama, Mana Boleh Buat Hudud!

Ketika Rasulullah dan para sahabat memerintah, mereka juga hidup dikalangan umat yang berbilang kaum dan agama. Siapa pula meletakkan hukum bahawa dalam masyarakat berbilang kaum dan agama tidak boleh laksanakan hudud? Berlainanlah jika Islam adalah golongan minoriti dan kita akan menghadapi tentangan hebat dari kaum atau agama lain disebabkan melaksanakan hudud. Realitinya sekarang orang Islam di Malaysia adalah golongan majoriti.

Di bawah ini ada video yang menerangkan tentang hukuman hudud kepada golongan bukan Islam.

httpv://www.youtube.com/watch?v=ZmGi77cf7IU

Jangan Jadi Seperti Ini:

Wanita ini dengan beraninya mempertikaikan hukum hudud. Anda boleh membaca kenyataan beliau di sini: Thestar

Zainah Anwar ini adalah salah seorang dari SIS iaitu Sister In Islam. Ini pula kenyataan yang dikeluarkan oleh SIS:

Kenyataan Zainah Anwar adalah menolak hukum hudud secara total kerana kita ini adalah orang Malaysia. Mungkin Zainah menyangka bahawa ketika Allah membuat hukum hudud sesuatu ketika dulu, Allah tidak tahu bahawa sebuah negara majmuk bernama Malaysia akan muncul dalam dunia ini. Manakala Pengarah Eksekutif SIS pula berkata hukum hudud adalah kejam dan keras. Ia juga tidak akan membawa keadilan kepada kaum wanita. Kenyataan ini menunjukkan bahawa mereka tidak bersetuju dengan pendapat Allah, tidak setuju dengan penetapan Allah dan menyatakan secara terbuka bahawa hukum Allah itu kejam dan keras.

Maka anda fikirkanlah sendiri apakah jawapan yang mereka akan berikan kepada Allah apabila disoal di akhirat kelak. Hanya satu persoalan terakhir yang ingin saya tanya untuk sama-sama kita fikirkan.

Hakikatnya, kita sebenarnya tidak percaya hudud dapat menyelesaikan masalah jenayah atau membawa kemakmuran dalam negara atau kita tidak percaya kepada Allah? Fikir dan renung-renungkanlah…

Tiada seorang pun sebenarnya yang harus takut dengan hudud kerana hukuman hudud hanya dikenakan kepada penjenayah. Meskipun bukan hudud, selama ini penjenayah juga dihukum secara kejam oleh hukuman cara civil. Jadi tiada alasan pun seorang muslim perlu menolak dan ragu dengan hudud.

5 comments

  1. selagi dibumi Allah kita berpijak, selagi itu la, kita perlu patuh kepada suruhannya.

  2. Ya Allah,sesungguhnya aku menginginkan tertegaknya hukum-Mu yang sempurna di bumi Malaysia,namun aku tidak mampu kerana tiada kuasa melaksanakannya.

    Oleh itu berikanlah aku kekuatan untuk mengikuti mereka yang memperjuangkan untuk menegakkan undang-undang-Mu di bumi Malaysia ini.

  3. saya setuju dengan adanya pelaksanaan hukum hudud dimalaysia…renung2 dan fikir2 kan lah..

  4. Kenapalah susah sgt nak ikut Al-Quran & Sunnah.
    Dah tahu kita ni tidak memiliki apa2. Nafas pun Allah bagi pinjam. Semuanya pinjaman.
    Bila Allah dah bagi pinjam, gunakanlah betul2. Kalau disalahguna, Allah berhak ambil balik bila2 masa.
    Kata dunia memang semua orang tak nampak dosa & tak nampak pahala. Di Akhirat nanti tak terjawab kita.

    Kita semua ni akan hidup selama2nya…. tidak akan mati.
    Utk mencapai ke alam kekal abadi harus melalui melalui 7 transit (7 alam drp alam roh, kandungan, dunia, barzakh, timbangan……… sampai akhirat. Panjang lebar kalau nak dihuraikan dalam ni….

    Kenapa para ulama susah sangat nak berikan penjelasan mengenainya. Masing2 dengan alasan yang berbeza2 & tidak sepakat lagi mengelirukan.

  5. AbeMatSongkokBuruk

    Assalam semua ( Kpd Muslimin Khasnya..)

    Terimalah ketetapan Allah dgn ikhlas..
    Jangan dipertikaikan ‘hukum dan ketetapan’ dari Tuhan semesta Alam dgn bermacam2 alasan (bijak mencari alasan). Jangan bijak mencari alasan untuk TIDAK dan menidakkan hukum Allah, kelak kemudian hari kamu diseksa dgn azab yang amat pedih…!Percaya dan yakinlah dgn hukum Allah ini pasti kita akan berada didalam Rahmat dan KeberuntungaNya…(sebab kuasa Allah tiada terbatas)..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*