Monday , 22 May 2017
Terbaru

Cara Memotong Kuku & Hal-hal Yang Berkaitan Dengannya

Dalam hukum Islam, kuku berperanan dalam beberapa perkara hukum yang tidak seharusnya diabaikan oleh umat Islam.

Hukum Dan Hikmat Memotong Kuku

Memotong kuku tangan dan kaki adalah termasuk dalam amalan sunat bagi lelaki dan perempuan.  Hikmahnya ialah menghilangkan segala kotoran yang melekat atau berkumpul di celah kuku, yang boleh menghalang sampainya air ketika bersuci. Selain daripada itu, jika kuku pula dibiarkan panjang dan segala kotoran melekat di  dalamnya, ia boleh menjejaskan kesihatan.

Cara Memotong Kuku

Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri. Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk sehinggalah jari kelingking dan diikuti ibu jari, kemudian tangan kiri daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari.  Sementara kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari kemudian kaki kiri daripada ibu jari sehinggalah kelingking.

Setelah selesai memotong kuku, segera membasuh tangan (tempat kuku  yang telah dipotong) dengan air. Ini kerana jika seseorang itu menggaru pada anggota lain, ditakuti akan menghidap penyakit kusta.

Waktu Memotong Kuku

Dalam perkara memotong kuku, waktu juga diambil kira dan diambil perhatian dalam Islam. Adapun waktu memotong kuku itu tertakluklah pada panjang kuku tersebut.

Adapun menurut Imam asy-Syafi’e dan ulama asy-Syafi’eyah, sunat memotong kuku itu sebelum solat Juma’at, sebagaimana disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum pergi ke masjid untuk mengerjakan  sembahyang Juma’at. Sementara menurut Ibnu Hajar Rahimahullah pula, sunat memotong kuku itu pada hari Khamis atau pagi Juma’at atau pada hari Isnin.

Menanam Potongan Kuku

Potongan-potongan kuku sunat ditanam di dalam tanah sebagai tanda menghormatinya, kerana ia salah satu daripada anggota manusia. Sebagaimana disebutkan dalam kitab Fath al-Bari, bahawa Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu menanam potongan kuku.

Memotong Kuku Ketika Haid, Nifas Dan Junub

Menurut kitab Al-Ihya’, jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan (makhruh) dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau  memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub.
Kerana segala potongan itu di akhirat kelak akan kembali kepadanya dengan keadaan junub (Nota: pendapat ini lemah).

httpv://youtu.be/FjcET_niu0E

Memanjangkan Kuku Dan Mewarnainya (Cutex)

Tabiat memanjangkan kuku dan membiarkannya tanpa dipotong adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alai i wasallam, kerana Baginda menggalakkan supaya memotong kuku.

Adapun dalam hal mewarnai kuku (cutex), perempuan yang bersuami adalah haram mewarnai kuku jika suaminya tidak mengizinkan. Sementara perempuan yang tidak bersuami pula, haram baginya mewarnai kuku. Demikian juga jika pewarna itu diperbuat daripada benda najis adalah haram digunakan melainkan ada hajat seperti berubat.

Jika pewarna kuku itu boleh menghalang daripada masuknya air, maka wajiblah ditanggalkan pewarna tersebut. Jika tidak ditanggalkan ia daripada kuku tangan atau kaki, maka tidaklah sah wudhu apabila dia berhadas kecil, atau mandi wajib apabila dia berhadas besar iaitu haid, nifas atau junub.

Oleh: Syukbah Dakwah dan Pendidikan, Masjid Negeri Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*